Masyarakat Tidung Tawau Tidong_Tawau

Masyarakat suku kaum Melayu Tidung di Tawau adalah penduduk asal di Tawau. Penempatan asal ialah di kawasan yang kini dikenali sebagai Tawau lama iaitu di sekitar Kuala Sungai Tawau. Nama Tawau sendiri adalah mendapat nama dari bahasa Tidung asli iaitu 'Tawai' yang bermaksud 'mata pancing'. Ini adalah kerana rata-rata penduduk asal tempatan di kawasan yang dikenali Tawau Lama ini adalah golongan nelayan. Ramai di kalangan masyarakat Melayu Tidung memiliki perahu yang dipanggil perahu Kajang. Selain itu, mereka juga mengusaha tanaman padi bukit sebagai sumber makanan harian mereka.

Walaupun masyarakat Melayu Tidung pernah menghuni di kawasan yang dikenali sebagai Tawau Lama ( Old Tawau ) ini namun setelah kawasan ini dimajukan oleh pihak British pada tahun 1896 , kebanyakan mereka telah berhijrah ke kawasan lain seperti di Apas ( di sebelah timur Tawau ) dan Merotai ( di sebelah utara Tawau ). Sehingga kini, mereka masih lagi menjadi penduduk asal dan pemilik tanah di sana. Manakala tidak lama selepas itu, Tawau Lama juga telah ditinggalkan dan Pekan Tawau yang baru telah diwujudkan di sebuah kawasan lain yang dikenali sebagai 'Tanjung'. Lokasi bandar Tawau ini kekal hingga ke hari ini dan kawasan ini juga dikenali sebagai Dewan Undangan Sri Tanjung.

Hari ini, masyarakat Tidung di kawasan sekitar bandar Tawau telah wujud sebagai Masyarakat Melayu kerana berlakunya perkahwinan hampir semua ahli masyarakat ini dengan masyarakat Melayu lain seperti Jawa, Suluk, Banjar, Arab, Iban Muslim dan sebagainya sejak sekian lama. Mereka mengamalkan budaya Melayu dan hanya bertutur dalam bahasa Melayu. Namun sebaliknya di kawasan lain seperti Kalabakan dan Sebatik ( termasuk juga Inderasabah dan Membalua ), masih ramai lagi masyarakat Tidung yang kekal wujud sebagai bangsa Tidung kerana masyarakat di daerah ini agak kurang mengamalkan perkahwinan campur dengan masyarakat lain. Ini berlaku mungkin kerana faktor kedudukannya yang agak terpisah dengan masyarakat Melayu lain. Mereka kekal mengamalkan adat dan budaya Tidung asli hingga ke hari ini.